Wednesday 29 March 2023

Penulisan 79. Cara-cara Memupuk Kasih Sayang dalam keluarga.


Setiap anggota keluarga menginginkan suasana yang bahagia. Kebahagiaan dalam sesebuah keluarga boleh dipupuk dengan amalan-amalan positif yang berterusan.

Antaranya ialah melakukan aktiviti di luar rumah bersama-sama. Aktiviti luar rumah seperti bersiar-siar di pantai atau di kawasan peranginan boleh merapatkan hubungan sesama ahli keluarga. Sambil bersiar-siar dapat pula berbual mesra.

Seterusnya, sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga yang memperolehi sesuatu kejayaan, maka sebaiknya berikanlah hadiah dan pujian. Hadiah dan pujian yang diberikan sudah tentu akan menaikkan lagi semangat seseorang. Pemberian hadiah seperti ini menunjukkan nilai kasih sayang yang tinggi.

Selain itu, manfaatkan masa terluang pada hujung minggu untuk aktiviti rekreasi seperti bermain catur, dam dan sebagainya. Permainan seperti ini tidak memerlukan ruangan yang besar dan masa yang singkat sahaja. Namun begitu, kesannya hubungan antara ahli keluarga akan bertambah erat.

Bagi ahli keluarga yang tinggal berjauhan pula, manfaatkan penggunaan perangkat elektronik untuk saling menghubungi. Penggunaan aplikasi panggilan video atau melalui Whatsapp, Telegram atau Facebook akan merapatkan lagi hubungan antara ahli keluarga 

Kesimpulannya, kita hendaklah sentiasa menghargai ahli keluarga supaya nilai kasih sayang dapat dipupuk sepanjang masa.